• D20112055873

Monday 26 November 2012

SYARAHAN


Pengenalan

Satu daripada jenis karangan yang kerap diuji dalam UPSR ialah karangan syarahan. Karangan jenis ini adalah karangan berformat. Untuk menulis karangan jenis ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah: 

• kata-kata aluan sebagai hormat kepada hadirin. 

• untuk pertandingan menyebut ‘para hakim’. 

• Kata-kata aluan dimulakan dengan pengurusi majlis, kemudian diikuti 
 mereka yang tinggi kedudukannya.
 
• menyebut ‘para hadirin’ untuk menimbulkan suasana bersyarah .

• kata alu-aluan dianggap pendahuluan, ‘terima kasih’ di akhir syarahan dianggap penutup.


Contoh soalan:  

Kamu telah menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan Pelajar’. Tuliskan syarahan kamu itu sengkapnya.
 
Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.


Jawapan :


Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan.’ 

Hadirin sekalian,

 Tahap disiplin kebanyakan pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan. Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Hadirin sekalian,

 Untuk mencapai kejayaan, para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.

 Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati oleh masyarakat. 
 
Hadirin sekalian,

 Pemupukan aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan pasti menanti mereka.

Hadirin sekalian,

 Daripada hujah-hujah yang telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak. 

Sekian, terima kasih.


Peta Minda 



 

No comments:

Post a Comment